Syam Ghaz dilantik Ketua Pengarah Baharu JKOM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Aktivis politik Mohd Hisyamuddin Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Komunikasi pada Isnin.

Hisyamuddin atau lebih dikenali Syam Ghaz dikatakan telah menggantikan penyandangnya sebelum ini iaitu Datuk Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatannya selepas lebih setahun menerajui agensi berkenaan.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Ismail atas sumbangan beliau sepanjang menerajui JKOM sebelum dipanggil menggalas tugas baharu di Pejabat Perdana Menteri.

“Selamat datang kepada saudara Syam Ghaz yang dipilih untuk menerajui JKOM,” ujarnya.

Untuk rekod, Syam memulakan penglibatan politik ketika era Pakatan Rakyat di Kelantan di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada 2015 sebelum bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Krai pada PRU15.

Sebelum pelantikan itu, Syam berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menerusi hantaran di Facebook, Syam menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi dan Saifuddin atas kepercayaan yang diberikan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat