Syarikat Malaysia buka ladang solar kedua terbesar di Peru

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Yinson Group telah merasmikan pembukaan ladang solar kedua terbesar di Peru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Yinson Group untuk memperkukuhkan kehadirannya di pasaran tenaga boleh diperbaharui global.

“Meraikan satu usahasama baharu syarikat dari Malaysia, Yinson Group dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Peru dengan pembukaan ladang solar di Arequipa yang kedua terbesar,” kata Anwar.

Menurut beliau, pembukaan ladang solar itu bukan sahaja mencerminkan kejayaan Yinson Group dalam meluaskan operasinya di Peru tetapi juga peningkatan ketara dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan Peru.

“Peningkatan ketara perdagangan di antara Malaysia-Peru merupakan manifestasi kesungguhan negara bagi memudahcara perdagangan.

“Disamping itu, ia turut memberi pelaksanaan dasar yang jelas serta penekanan kepada memudahcara perniagaan (ease of doing business) yang diamalkan demi manfaat rakyat dan hubungan baik kedua-dua negara,” jelasnya.

Anwar juga menekankan bahawa kerjasama ini adalah contoh usaha ‘global south’ yang bukan sahaja memberi manfaat dalam bidang ekonomi tetapi juga membentuk masa depan yang lestari.

“Saya percaya dengan kerjasama ini, kita mampu membentuk masa depan yang lebih lestari dan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat