Syarikat penerbangan, MOT sepakat tangani isu tiket mahal musim perayaan

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Syarikat penerbangan bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan bagi menangani masalah harga tiket penerbangan mahal semasa musim perayaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan ia hasil rundingan antara Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui perbincangan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan domestik.

“Penambahan kapasiti ini penting untuk memastikan harga tiket kekal kompetitif dan dapat mengurangkan beban pengguna,” jelasnya dalam Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga pada Isnin.

Dalam pada itu, Kementerian juga akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket bagi laluan domestik, termasuk antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Tambahnya, kerajaan telah memperkenalkan had harga maksimum RM599 bagi tiket penerbangan kelas ekonomi sehala sempena perayaan utama seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.

“Langkah ini berkuat kuasa tiga hari sebelum sambutan perayaan bagi memastikan pengguna dapat pulang dengan tambang yang berpatutan,” ujarnya.

Menurut Hasbi, harga tiket penerbangan biasanya meningkat semasa musim puncak akibat permintaan tinggi yang melebihi kapasiti.

Oleh itu, pengguna disarankan membeli tiket lebih awal kerana syarikat penerbangan menjual tiket sehingga sembilan bulan sebelum tarikh perjalanan.

“Tiket di bakul harga rendah biasanya habis dijual lebih awal, dan hanya bakul harga tinggi yang tinggal menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli mengenai ketetapan harga tambang kapal terbang terutamanya semasa musim perayaan.

Anda Mungkin Berminat