Syarikat Pengangkutan Sabah, Sarawak Digesa Segera Daftar SKPS Untuk Subsidi Petrol

PENAMPANG: Syarikat pengangkutan awam dan barangan di Sabah serta Sarawak digesa segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan kelangsungan akses kepada subsidi petrol RON95.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan rasmi di mysubsidi.kpdn.gov.my, dengan kelulusan segera sekiranya dokumen lengkap dikemukakan.

Selepas diluluskan, katanya, syarikat layak memohon ‘fleet card’ daripada syarikat minyak pilihan masing-masing sebelum pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

“Pendaftaran ini penting supaya syarikat dapat terus menikmati harga petrol bersubsidi tanpa gangguan apabila mekanisme baharu dilaksanakan kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Namun beliau berkata, kadar pendaftaran masih rendah meskipun sistem telah dibuka selama enam hari.

Setakat ini, katanya, hanya 89 kenderaan daripada 2,677 yang layak di Sabah dan enam kenderaan daripada 1,970 yang layak di Sarawak telah mendaftar.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa subsidi petrol RON95 di Sabah dan Sarawak turut melibatkan kenderaan persendirian milik rakyat tempatan, yang akan menikmati harga runcit lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.

Butiran penuh mengenai mekanisme penyasaran subsidi akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat dan pendaftaran awal dilihat sebagai langkah penting bagi mengelakkan gangguan operasi apabila sistem baharu mula dilaksanakan.

Anda Mungkin Berminat