PETALING JAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memberi jaminan bahawa syarikat telekomunikasi (Telco) tidak akan mendedahkan maklumat peribadi individu kepada mana-mana pihak.
Beliau mejelaskan bahawa pengumpulan data pengguna yang diperkatakan sebelum ini bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan bukan untuk menyerahkan maklumat individu kepada pihak lain.
“Data yang dikumpul itu tidak akan diserahkan dalam bentuk yang mengandungi sebarang maklumat peribadi pengguna (PII),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Korban Perdana Perpaduan anjuran UMNO Bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur.
Menurut Fahmi, maklumat tersebut digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi merangka dasar berkaitan industri telekomunikasi berdasarkan bukti dan analisis menyeluruh.
Beliau turut berkata, laporan yang disediakan DOSM akan membantu MCMC membuat keputusan berkaitan dasar terutama dalam aspek penggunaan teknologi seperti 4G, 5G dan jalur lebar.
Isu ini mula mendapat perhatian selepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meluahkan kebimbangan terhadap dakwaan bahawa kerajaan mengarahkan semua syarikat telco menyerahkan data penuh berkaitan pengguna telefon di Malaysia.