PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan mengesahkan hubungan cintanya dengan penyanyi Bella Astillah selepas menerima usikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.
Insiden itu berlaku selepas Syed Saddiq menghadiahkan dua pasang baju Melayu kepada Anwar susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen.
“Ini kena ada Bella di sebelah,” seloroh Anwar, merujuk kepada penyanyi itu yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan Syed Saddiq.
Ahli Parlimen Muar itu membalas sambil tersenyum, “Bella saya punya, kasi ‘chance,’” yang mengundang gelak ketawa di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, dakwaan mengenai hubungan mereka menjadi perhatian selepas Syed Saddiq membawa Bella dan seorang kanak-kanak ke Parlimen minggu lalu. Usikan Anwar hari ini menguatkan lagi spekulasi mengenai hubungan mereka.