Syed Saddiq Hantar Usul Tergempar Isu Buli UPNM Di Dewan Rakyat

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menghantar usul tergempar berhubung isu buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, usul tersebut dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin (11 November).

Menerusi usul yang dikongsikannya di laman X, Syed Saddiq mengemukakan permohonan tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

“Beberapa siri kejadian pembulian yang teruk telah dilaporkan sejak beberapa tahun. Terdapat mangsa yang telah meninggal dunia pada 2017. Kejadian serupa juga telah berlaku sehingga kini.

“Usul ini adalah perkara tertentu kerana perkara ini telah berlaku sejak daripada dahulu dan tidak wajar dibiarkan berulang lagi di masa hadapan tidak kira di UPNM mahupun pusat pengajian tinggi yang lain,” katanya.

Syed Saddiq juga menjelaskan usul ini perlu disegerakan kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan penuntut di UPNM.

Katanya, ada kemungkinan kes-kes buli lain tidak dilaporkan kepada pihak pengurusan.

“Pelajar dibunuh dengan kejam depan ramai orang, pelajar didera pada siang hari di tempat terbuka, pelajar diterkap dengan seterika dan dikatakan ‘jenaka’ sahaja.

“Ini mengarut. Cukup sudah, nak tunggu ada kematian lagi ke sebelum bertindak?” tulisnya di laman X.

Jelasnya, usul ini juga melibatkan kepentingan ramai kerana ini tidak hanya inklusif kepada penuntut UPNM tetapi diperluaskan kepada semua pusat pengajian tinggi.

Pada Ahad, seorang penuntut tahun satu UPNM dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak oleh penuntut tahun tiga.

Kejadian berlaku sekitar jam 10.45 malam pada 21 Oktober lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat