Oleh: Tyah Helmi
PUTRAJAYA: Tangisan kelegaan dan sujud syukur mengiringi detik bersejarah buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan beliau daripada semua pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.
Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim itu sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada November 2023 termasuk hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Sejurus keluar dari kamar perbicaraan, Syed Saddiq bersama ahli keluarga dan rakan taulan melakukan sujud syukur di perkarangan mahkamah bagi menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang dinanti-nantikan selama lima tahun.
“Kemenangan ini bukan hanya untuk saya tetapi untuk semua yang percaya kepada keadilan,” katanya sambil memeluk ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz yang turut hadir memberi sokongan.
Kes ini bermula pada Julai 2021 apabila Syed Saddiq yang ketika itu merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan didakwa atas empat pertuduhan melibatkan dana sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada).
Beliau dituduh bersubahat dalam pecah amanah melibatkan RM1 juta, menyalah guna RM120,000 serta dua pertuduhan penggubahan wang haram masing-masing berjumlah RM50,000.
Namun, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa hakim perbicaraan telah ‘seriously erred’ dalam menilai bukti dan tidak mengambil kira keterangan saksi yang diberikan di bawah tekanan.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin berkata, tindakan Syed Saddiq ketika itu adalah berdasarkan kebimbangan yang sah dan beliau secara sah berhak ke atas dana tersebut.
Turut kelihatan di mahkamah ialah penyanyi dan pelakon Bella Astillah serta lebih 40 penyokong yang hadir sejak awal pagi bagi memberi semangat kepada beliau.