Syed Saddiq tetap tunaikan janji kepada siswa Muar

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Meskipun kerjasama sebagai penyampai radio bersama Era FM tidak dapat kesampaian, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap menunaikan janjinya untuk menyalurkan bayaran kontrak kepada pelajar di bawah inisiatif Malaysia’s Outstanding Achievers (MOA).

Menurut beliau, seramai 20 mahasiswa daripada keluarga susah akan menerima biasiswa hasil daripada bayaran kontrak yang tetap dilunaskan oleh pihak Era dan Astro meskipun projek tidak jadi diteruskan.

“Saya dah maklumkan kepada mereka, 100 peratus bayaran kontrak saya akan disalurkan sebagai biasiswa kepada 20 mahasiswa dari MOA yang datang dari keluarga susah,” katanya dalam satu kenyataan video yang dimuat naik ke media sosial hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini dijadual menyertai segmen “Team 3 Pagi Era” bersama penyampai popular Nabil Ahmad, Pak Azad dan Radin.

Menurutnya, semua persiapan termasuk tandatangan kontrak, sesi penggambaran dan rakaman video telah dilakukan.

Namun katanya, pada saat akhir beliau dimaklumkan bahawa kerjasama itu tidak dapat diteruskan atas “sebab-sebab tertentu”, tanpa memperincikan punca sebenar.

“Saya hargai kejujuran Tim Era dalam hal ini. Saya tak mahu menyusahkan mereka. Dan saya tetap akan salurkan 100 peratus jumlah itu ke tabung biasiswa MOA,” katanya.

Tambah Saddiq lagi, pelajar-pelajar yang terlibat sudah dimaklumkan lebih awal dan keluarganya sendiri telah bersiap sedia untuk menghadiri majlis pengumuman rasmi yang dirancang.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa beliau tidak kecewa, malah menganggap ia sebagai satu rezeki yang bertukar bentuk.

“Sedih? Tak. Saya percaya, satu pintu rezeki tertutup, 10 lagi dibuka. Pada hari yang sama saya diberitahu projek dengan Era tak dapat diteruskan, saya juga terima beberapa tawaran lain berjumlah RM1,060,000,”

“Percaya pada perancangan Allah. Setiap musibah pasti ada ganjaran kelak” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat