Syed Saddiq tidak akan kuat tanpa ‘mama’, rakyat Malaysia

Oleh: Tyah Helmi

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tanpa kehadiran wanita besi iaitu ibu (mama) tercintanya, beliau tidak mungkin tidak sekuat ketika ini dalam menghadapi perbicaraan empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sejak lima tahun lalu.

Syed Saddiq mendedahkan, ibunya sudah dua kali berjuang melawan penyakit kanser dan berjaya mengharunginya semenjak tahun 2020 sehinggakan turut terlibat sama disiasat berhubung kes perbicaraan walaupun sedang melawan penyakit berkenaan.

“Dan jangan kita lupa, wanita besi di sebelah saya, iaitu ibu saya dan sejak tahun 2020 beliau ada pejuang sebenar, sehingga kena siasat sudah bebas daripada kanser.

“Dua kali kanser, dua kali mama selamat, jadi saya tidak tahu mana nak dapat semangat untuk berlawan ini, kamu semua kena tengok wanita yang berdiri di sebelah saya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di sidang media usai selesai hadir prosiding bagi memperdengar keputusan prosiding rayuan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Pada masa yang sama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menzahirkan rasa terhutang budi yang tidak terhingga kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama yang menyokong beliau sama ada secara bersemuka atau tidak.

Beliau amat terharu apabila ada yang mengadakan majlis doa selamat dan bacaan Yassin di beberapa masjid, malah ada yang mengadakan majlis bacaan Yassin secara atas talian.

“Sejujurnya saya terhutang budi kepada rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama, tua dan yang muda yang tidak putus-putus mendoakan keadilan buat saya.

“Saya betul-betul terhutang budi, ini menunjukkan betapa kuatnya rakyat Malaysia, walaupun saya tidak pernah berjumpa dengan mereka tetapi ia membuatkan perjuangan ini bukan sekadar untuk Syed Saddiq,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat