KUMPULAN terkenal Indonesia, Ungu, tampil berbeza sempena sambutan ulang tahun ke-29 mereka menerusi konsert istimewa “29th Anniversary – Symphony of Ungu” yang berlangsung meriah di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Lebih 2,000 peminat hadir menyaksikan persembahan berdurasi dua jam itu yang mengetengahkan susunan muzik berkonsepkan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik, J.P. Denny, sekali gus memberi nafas baharu kepada lagu-lagu ikonik Ungu.
Segmen pembukaan dimulakan penyanyi jemputan Gretchen Quirina dengan lagu Mangu, Sampai Menutup Mata dan Aku Bodoh, manakala penyanyi Malaysia Ayda Jebat turut mencuri perhatian apabila berduet bersama Ungu menerusi lagu Bismillah Cinta.
Sebanyak 16 lagu dipersembahkan, antaranya Andai Ku Tahu, Berjanjilah, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Hampa Hatiku dan Seperti Mati Lampu. Ungu turut menyampaikan lagu Bila Tiba sebagai penghormatan buat sahabat mereka, Gatot Kies Afierianto, yang meninggal dunia bulan lalu.
Vokalis utama, Pasha, tidak lupa berinteraksi mesra dengan penonton sambil menyelitkan jenaka ringan yang menghidupkan suasana.
“Assalamualaikum. Perlu beri salam dahulu sebab baru pulang haji, semalam dari Saudi saya dimaklumkan jemaah haji terbaik datang dari Malaysia. Kita perlu kata tahniah jika itu semua benar,” katanya disambut sorakan penonton.
“Terima kasih penganjur mempercayakan kami ke Ungu untuk membuat konsert di Malaysia. Paling tidak menyangka, ‘sold out’ malam ini sebanyak 2,500 tiket,” katanya sebelum meneruskan persembahan.
Konsert ini bukan sahaja meraikan ulang tahun perjalanan seni Ungu, tetapi turut mengukuhkan lagi hubungan erat mereka dengan peminat di Malaysia.
Baca juga:
Baca juga:
 
													 
													 
													








