Syukur sangat, MySARA boleh beli susu anak masa sesak ini

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia meluahkan rasa syukur apabila bantuan tunai RM100 melalui MySARa berjaya dikreditkan ke akaun masing-masing pada 31 Ogos lalu.

Tinjauan wartawan Malaysia Bangkit di media sosial mendapati ramai netizen meluahkan rasa gembira kerana bantuan one-off itu dianggap tiba tepat pada masanya, apatah lagi ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Di Twitter dan Facebook, ribuan warganet memuat naik kisah bagaimana mereka menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli barang keperluan asas, daripada beras hingga minyak masak, malah ada yang menyalurkan sebahagian kecil kepada ibu bapa dan anak-anak.

“Alhamdulillah, dapat juga beli barang dapur minggu ini tanpa perlu risau sangat pasal bajet. RM100 ni kecil pada sesetengah orang, tapi besar maknanya untuk kami,” kata seorang pengguna dengan nama akaun @ainasyukri.

Ada juga yang menyatakan bantuan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan sementara menunggu gaji bulanan.

“Syukur sangat, masa dapat tu memang betul-betul tengah sesak. Terus boleh beli susu anak dan barang sekolah,” tulis seorang lagi netizen.

Suasana syukur itu turut dihiasi dengan pelbagai gambar resit dan troli pasar raya penuh dengan barang keperluan asas.

Ramai yang menzahirkan rasa terharu kerana dapat menyambut hujung minggu dengan lebih tenang tanpa perlu memikirkan hutang kedai runcit.

Selain itu, ramai warganet memuji kecekapan sistem MySARa yang memudahkan penyaluran bantuan secara terus ke kad pengenalan. Bagi mereka, tidak perlu lagi beratur panjang atau menunggu lama kerana segalanya diurus secara digital dan cepat.

“Bila duit masuk terus, kita rasa dihargai. Senang nak guna, tak payah isi borang banyak kali. Memang membantu rakyat,” kata seorang guru dari Johor yang turut berkongsi pengalamannya.

Di TikTok, tular trend video pendek oleh pempengaruh Aisyah Nordin yang berkongsi cara rakyat Malaysia membelanjakan RM100 serta lokasi mereka berbelanja

Bagi sebahagian keluarga besar, RM100 itu dilihat sebagai suntikan semangat untuk terus berjimat cermat.

“Duit ni kami bahagi sama rata, separuh untuk dapur, separuh lagi untuk anak-anak. Walaupun tak banyak, tapi cukup untuk tampung beberapa hari,” kata seorang netizen.

Di sebalik kegembiraan ini, ramai juga menyeru agar inisiatif seperti MySARa diteruskan atau dipertingkatkan pada masa depan. Mereka berharap bantuan tunai mampu meringankan lagi tekanan hidup rakyat yang berdepan kenaikan harga barangan keperluan.

Rata-rata komen netizen jelas menggambarkan satu perkara iaitu rakyat benar-benar menghargai setiap sen yang disalurkan. Walaupun hanya RM100, ia dianggap membawa makna besar kerana memberi nafas lega ketika diperlukan.

“Rezeki ini jangan pandang kecil. Kadang-kadang nilainya lebih besar bila datang di saat kita betul-betul perlukan,” tulis seorang netizen yang disambut ribuan tanda suka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat