PETALING JAYA: Angkatan Wanita Amanah Negara (Wanita AMANAH) menzahirkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi subsidi petrol bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun menegaskan bahawa cadangan penarikan subsidi RON95 terhadap kategori T20 perlu diteliti semula agar lebih adil dan realistik dengan kos sara hidup semasa.
Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi berkata, berdasarkan Household Income Survey 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ambang T20 nasional ialah RM12,680 tetapi di Selangor (RM16,040) dan Kuala Lumpur (RM17,030), angka itu tidak menggambarkan kemewahan sebenar.
“Sebaliknya, ia mencerminkan tekanan kos sara hidup bandar yang jauh lebih tinggi khususnya melibatkan perumahan, makanan, pendidikan, penjagaan anak dan logistik harian,” katanya.
Menurut beliau, ramai dalam kategori T20 sebenarnya tergolong dalam kelas menengah bandar yang berpendapatan tinggi di atas kertas tetapi berdepan komitmen kewangan besar serta tekanan inflasi berterusan.
Oleh itu katanya, penentuan kelayakan subsidi perlu mengambil kira pendapatan boleh guna, profil tanggungan, lokaliti geografi dan kestabilan ekonomi individu, bukan sekadar pendapatan kasar.
Beliau turut menekankan bahawa reformasi subsidi mesti disertakan dengan jaringan keselamatan mobiliti yang kukuh agar akses rakyat ke tempat kerja dan institusi pendidikan tidak terjejas.
Aiman Athirah berkata, antara langkah yang disarankan termasuk memperluas inisiatif Demand Responsive Transit (DRT) di kawasan bandar berkepadatan tinggi serta memastikan komuniti luar bandar yang bergantung kepada petrol tidak terpinggir daripada manfaat subsidi bersasar.
“Dasar yang adil ialah dasar yang memahami jurang kos sara hidup, tekanan ekonomi bandar dan realiti sebenar rakyat yang bekerja keras tetapi masih terbeban dengan peningkatan kos kehidupan,” katanya.
Beliau turut mengambil maklum pandangan pakar ekonomi yang mencadangkan agar rasionalisasi subsidi dimulakan secara lebih bersasar kepada kelompok pendapatan tertinggi (T1) bagi melindungi kelas menengah bandar daripada kesan kenaikan harga barang dan kos kehidupan yang semakin mencabar.








