Tabung Kasih@HAWANA Cerminan Keprihatinan Kerajaan Terhadap Wartawan – Fahmi

PULAU PINANG: Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA adalah bukti nyata keprihatinan kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan para wartawan yang telah lama menyumbang kepada pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Setakat ini, katanya, seramai 500 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada tabung tersebut termasuk wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, yang mengalami masalah pendengaran sejak tahun lalu.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan warga media yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Melalui tabung ini, kita mahu memastikan mereka tidak dipinggirkan apabila berdepan cabaran kesihatan atau masalah kewangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Choo, yang telah berkhidmat dengan akhbar berbahasa Cina itu sejak 2018, merupakan penerima ke-22 Tabung Kasih@HAWANA di Pulau Pinang.

Bantuan yang diterima membolehkan beliau memiliki alat pendengaran, sekali gus memudahkan interaksi harian serta melaksanakan tugasan kewartawanan dengan lebih lancar.

Inisiatif itu bukan sahaja menyentuh aspek kebajikan, malah mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kepedulian terhadap golongan yang pernah menyumbang kepada masyarakat namun kini berdepan cabaran hidup dan kesihatan.

Anda Mungkin Berminat