KUANTAN: Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar detik meraikan ketibaan tahun baharu tetapi menjadi masa terbaik untuk menyuburkan semangat kebersamaan dan berkongsi rezeki tanpa mengira latar belakang.
Membawa semangat itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, turun ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu bagi menyantuni komuniti setempat sempena perayaan tersebut.
Turut hadir, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Timbalan Pengarah ICU Pahang, YM Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.
Mereka bersama-sama menyerahkan sumbangan tunai E-Kasih sebanyak RM500, bakul makanan serta limau mandarin kepada para peserta program eKasih.
Ahmad Farhan berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir ketika musim perayaan.
“YAB Perdana Menteri sentiasa menekankan agar kebajikan rakyat didahulukan terutamanya dalam meringankan beban kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan itu diharap membawa sinar kegembiraan kepada penerima selain mengeratkan lagi perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Semoga sumbangan ini membawa sinar kegembiraan dan mengeratkan lagi perpaduan kita.
“Selamat Tahun Baharu Cina 2026!” ujar beliau.








