PETALING JAYA: Sambutan Tahun Baharu Cina di SMJKC Khantan Baru menjadi pentas perpaduan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir bersama masyarakat setempat meraikan perayaan penuh warna-warni itu.
Dalam suasana harmoni dan muhibah, beliau menekankan bahawa kepelbagaian kaum dan budaya adalah kekuatan utama negara.
“Malaysia ibarat sebuah keluarga besar, berbeza latar namun bersatu dalam semangat saling menghormati dan berkongsi kegembiraan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Anwar berkata, keamanan dan perpaduan merupakan prasyarat utama kemajuan negara.
Menurutnya, keunikan Malaysia yang dihuni oleh pelbagai kaum, Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak wajib dipelihara.
Mengaitkan semangat Tahun Kuda yang melambangkan keberanian, ketangkasan dan daya tahan, beliau menyeru rakyat agar terus melangkah maju sebagai bangsa yang bersatu dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan tiada kumpulan masyarakat yang terpinggir.
“Bantuan pembangunan, pendidikan dan kebajikan disalurkan tanpa mengira kaum atau wilayah kerana kepemimpinan yang sebenar menuntut kita merasai denyut nadi setiap rakyat, sama ada di kampung Melayu, perkampungan Cina, estet India atau pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Dengan semangat Gong Xi Fa Cai, mari bersama mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang demi masa depan generasi akan datang,” ujar Perdana Menteri.








