Tak Dianaktirikan, Rakyat Kelantan Syukur Adanya Bas Pink

Oleh: Aliyaa Azmi

KOTA BHARU: Pengenalan perkhidmatan Bas Pink (BAS.MY) di sekitar Kota Bharu disambut baik oleh orang ramai, khususnya mereka yang sebelum ini terkesan akibat ketiadaan perkhidmatan bas selepas bas terakhir menghentikan operasi beberapa tahun lalu.e

Fatin Nur Ayunie, 25, seorang pekerja swasta di Aeon Mall, Kota Bharu berkata kewujudan semula perkhidmatan bas awam memberi makna besar kepada penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.

“Terus terang saya sangat bersyukur. Sebelum ini memang tiada bas selepas perkhidmatan lama dihentikan. Nak bergerak jadi susah, terutama untuk orang yang tak ada kenderaan sendiri,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Dia berkata, ketiadaan pengangkutan awam sebelum ini bukan sahaja menyukarkan urusan harian, malah memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pengurusan kos hidup.

“Bila tiada bas, ramai terpaksa guna teksi atau e-hailing yang kosnya lebih tinggi. Bas Pink ni membantu kurangkan beban perbelanjaan harian,” jelasnya.

Fatin turut memuji aspek pengurusan perkhidmatan yang lebih sistematik berbanding sebelum ini.

“Sekarang perkhidmatan nampak lebih teratur, bas lebih selesa dan mesra pengguna. Ini penting untuk bina semula keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam,” katanya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas pelaksanaan perkhidmatan tersebut di Kelantan.

“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana tidak menganaktirikan Kelantan walaupun negeri ini diperintah oleh pembangkang. Ini bukti kebajikan rakyat tetap diutamakan,” ujarnya.

Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan semangat keadilan sosial dan tadbir urus yang inklusif.

“Bila kerajaan pusat masih menyalurkan kemudahan asas seperti pengangkutan awam, rakyat rasa dihargai tanpa mengira perbezaan politik,” tambahnya.

Secara keseluruhan, beliau menyifatkan pengenalan Bas Pink sebagai satu langkah penting dalam memulihkan sistem pengangkutan awam di Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat