SEORANG lelaki berbangsa Cina, Norman Goh, menarik perhatian ramai apabila berkongsi perjalanan hidupnya selepas gagal menempatkan diri di Universiti Malaya (UM) pada zaman pengajian.
Dalam catatan panjang di laman Facebook, Norman menceritakan bagaimana dia hanya memperoleh CGPA 3.42 dalam STPM pada 2006, selepas tidak ditawarkan program matrikulasi atau asasi.
“Ketika itu memang kecewa, tapi sekarang saya nampak ia satu pengajaran. Rezeki Tuhan susun ikut cara kita tak jangka,” katanya.
Norman ditawarkan pengajian Ijazah Kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), universiti yang sama tempat ibunya bertugas sebagai pengajar klinikal.
Bermula dengan pinjaman PTPTN, dia akhirnya berjaya meraih biasiswa JPA selepas konsisten berada dalam Senarai Dekan.
Selepas menamatkan pengajian pada 2011, Norman mengakui tidak menyesal kerana perjalanan itu membentuk dirinya sehingga kini.
“Masuk UM memang persaingan sengit, dari dulu sampai sekarang. Tapi kalau satu pintu tertutup, ada pintu lain terbuka,” katanya lagi.
Impian ke UM akhirnya tercapai apabila dia diterima mengikuti pengajian Sarjana Polisi Awam pada 2021, sebelum menamatkannya pada 2022 ketika masih bekerja di Kesatuan Eropah (EU).
“Setiap penolakan, setiap pintu yang tertutup sebenarnya rahmat tersembunyi. Hidup bukan tentang di mana kita bermula, tapi tentang ketabahan dan pilihan yang kita buat,” katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif, dengan warganet menyifatkan kisah Norman sebagai motivasi kepada pelajar yang tidak berjaya memasuki universiti idaman.
Baca juga: