‘Tak Nampak Pun Macam Dah 78’, PHM Kongsi Gaya Hidup Sihat PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-78 pada Ahad (10 Ogos).

Namun, jika dilihat dari cara beliau berjalan, bercakap dan berinteraksi dalam pelbagai acara rasmi dan santai, ramai yang terpukau dengan tahap energinya yang luar biasa.

“Tak nampak pun macam dah 78,” kata Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook berserta poster.

Menurutnya, ungkapan itu bukan sekadar pujian kosong tetapi satu pemerhatian yang semakin kerap didengari ianya bukan tentang politik tetapi tentang gaya hidup sihat yang mungkin menjadi rahsia beliau kekal cergas dan bertenaga.

PHM berkata, berat badan Anwar dilihat kekal terkawal, satu faktor penting dalam menjaga kesihatan jantung, mengurangkan beban pada sendi dan mengekalkan kesegaran kulit.

Katanya, tidak perlu kurus melidi, cukup berada dalam julat sihat dan konsisten, itulah yang dilihat pada Perdana Menteri.

Selain itu, PHM berkata, Anwar juga tidak merokok.

“Bibirnya kelihatan pink dan tidak menunjukkan tanda-tanda penggunaan nikotin.

“Rokok diketahui mempercepatkan penuaan kulit kerana merosakkan kolagen dan mengganggu aliran darah ke muka.

“Tanpa rokok, nafas lebih panjang, degupan jantung lebih stabil dan wajah kelihatan lebih segar,” katanya.

Kata PHM, Anwar sering dilihat bersenam termasuk ketika berada di luar negara.

“Sama ada ‘brisk walk’ atau senaman ringan, aktiviti fizikal ini cukup untuk meningkatkan tenaga harian dan memberi seri pada wajah.

“Ketahanan mental beliau juga tidak boleh dinafikan.

“Mengurus tekanan dan cabaran politik selama bertahun-tahun memerlukan daya tahan luar biasa.

“Ketenangan dan fokus yang ditampilkan dalam pelbagai situasi mencerminkan kekuatan mental yang tinggi,” katanya.

Dalam program-program kesihatan, Anwar juga dilihat kerap menjalani pemeriksaan berkala termasuk saringan tekanan darah, paras gula dan kolesterol.

Menurut PHM, langkah itu penting untuk mengesan masalah ‘senyap’ sebelum ia menjadi serius.

“Tidur yang cukup dan rutin harian yang konsisten turut memainkan peranan besar.

“Rehat yang berkualiti membantu tubuh membaiki tisu, mengukuhkan memori dan menstabilkan hormon lapar dan semua ini menyumbang kepada kesihatan menyeluruh,” kata kenyataan itu.

Tambah PHM, daripada segi pemakanan, Anwar dilihat mengamalkan diet seimbang yang menekankan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, protein berkualiti dan lemak sihat.

“Gula tambahan dan makanan ultra-proses pula dikurangkan.

“Tubuh yang cukup nutrisi lebih mudah kekal bertenaga dan fokus. Akhirnya, satu kunci besar yang menjadi teras kepada semua ini iaitu konsisten.

“Bukan sekali dua, tetapi tabiat kecil yang diulang hari-hari. Disiplin dan konsistensi inilah yang menjadikan gaya hidup PM satu inspirasi bukan sahaja untuk pemimpin, tetapi untuk rakyat yang mahu kekal sihat dan bertenaga sepanjang usia,” kata PHM.

Anda Mungkin Berminat