‘Tak semua nama Yeoh ada kaitan dengan YTL,’ – Hannah

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menempelak dakwaan pemimpin pembangkang yang mendakwa bahawa beliau mempunyai kaitan dengan keluarga pengasas kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut memberi penegasan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria bahawa, tidak semua individu yang memiliki nama Yeoh berkait rapat dengan kumpulan terbabit.

“PAS perlu tahu bahawa tidak semua (nama) Yeoh mempunyai kaitan (dengan YTL),” katanya menerusi hantaran ringkas di laman X pada Isnin.

Sebelum ini, Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak membuat dakwaan bahawa menteri terbabit adalah anak orang kaya dan anak perempuan kepada pengasas YTL.

Untuk rekod, YTL diasaskan mendiang Tiong Lay pada 1955 dan sejak itu, beliau meneruskan kerjayanya di sektor pembinaan serta memperluas kehadiran Kumpulan YTL di sektor lain yang kini menjadi satu daripada konglomerat terbesar yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Selain memiliki kepentingan perniagaan daripada pembinaan, Kumpulan YTL juga terbabit dalam bidang penjanaan kuasa, perhotelan, pembangunan hartanah dan telekomunikasi.

Terdahulu, Malaysia Bangkit melaporkan, Razman membuat permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkannya dengan insiden mengibar bendera negara China.

Permohonan maaf juga dibuat Razman ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan ucapannya dalam satu himpunan di Dataran Menara Condong, dekat Teluk Intan, Perak sehingga mengundang rasa terkilan Saarani.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat