TOKYO: Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Sanae Takaichi, mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi pemilihan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Sabtu.
Takaichi, 64, yang dikenali dengan pendirian konservatif tegar, menewaskan Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi dalam pusingan penentuan dengan memperoleh 185 undi berbanding 156 undi.
Beliau menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang berundur, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui parti pemerintah itu sejak ditubuhkan pada 1955.
“LDP menandakan era baharu. Kami akan menukar kebimbangan rakyat kepada harapan,” katanya selepas kemenangan diumumkan.
Takaichi dijangka meneruskan dasar nasionalis seperti bekas Perdana Menteri mendiang Shinzo Abe, termasuk pendekatan tegas terhadap China dan Korea Selatan.
Namun dalam sidang media pertama selepas pemilihan, beliau menegaskan lawatan ke kuil Yasukuni tidak harus dijadikan isu diplomatik, sambil menambah keputusannya kelak akan mempertimbangkan sensitiviti serantau.
Tempoh perkhidmatannya dijangka berlangsung hingga September 2027, dengan pelantikan rasmi sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada sidang Parlimen khas sekitar 15 Oktober ini.








