Takdir, Air Banjir Masuk Rumah Dulu Sebelum Tuan Rumah

TITI GANTUNG: Impian seorang pengguna TikTok, sarahyana, untuk melangkah masuk ke rumah baharunya bertukar menjadi detik pilu apabila kediaman yang baru siap itu dilanda banjir hanya sehari selepas menerima kunci.

Dalam satu video di TikTok, sarahyana berkongsi dua gambar menyentuh hati iaitu satu menunjukkan rumah baharu yang masih kering dan tersergam indah, manakala satu lagi menunjukkan rumah yang sama telah ditenggelami air banjir.

Kedua-dua gambar itu dirakam dalam tempoh kurang 48 jam yang menggambarkan betapa pantas musibah melanda.

Menurut kapsyen yang ditulis, sarahyana menerima kunci rumah pada 24 November 2025.

Namun, pada 25 November, air banjir mula memasuki kawasan perumahan tersebut sehingga menenggelamkan sebahagian besar bahagian bawah rumah.

Di ruangan komen, suami beliau, HafizulShafiq menulis dengan penuh ketabahan.

“Terima kasih semua yang prihatin. Rezeki rumah siap seminggu sebelum banjir. Dan dapat kunci sehari sebelum banjir.

“Takdir air banjir masuk rumah dulu sebelum tuan rumah,” katanya.

Luahan itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata bersimpati dan memuji ketabahan beliau menghadapi ujian yang tidak disangka-sangka.

Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa, menunjukkan betapa isu banjir masih menjadi ancaman besar kepada penduduk di kawasan rendah khususnya ketika musim tengkujuh.

Anda Mungkin Berminat