PETALING JAYA: Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar sebagai bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.
Menurut Mahfuz, kenyataan pemimpin PAS itu bukan sahaja mengelirukan, malah bertentangan dengan ajaran Islam yang menggalakkan usaha membela golongan miskin dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita tidak harus menyamakan kemiskinan dengan takdir kekal. Usaha membela rakyat miskin adalah sebahagian daripada jihad sosial dan amanah sebagai pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, sebagai pemimpin politik, Nik Zawawi perlu bercakap secara berilmu dan bertanggungjawab, bukan menyebar fahaman yang melunturkan semangat rakyat untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Yang sebenarnya bercanggah dengan naluri manusia ialah politik yang mengenyangkan perut sendiri sambil membiarkan perut rakyat kosong,” katanya.
Mahfuz turut mengkritik pendekatan sesetengah pemimpin yang menurutnya memuliakan kemiskinan demi menutup kegagalan mereka berkhidmat kepada rakyat.
“Rakyat tidak minta kemewahan, mereka minta keadilan. Jangan jadikan ‘takdir’ alasan untuk membiarkan rakyat terus miskin,” katanya lagi.
Menurutnya, agenda menoktahkan kemiskinan tegar adalah usaha mulia kerajaan yang selari dengan tuntutan agama dan tidak seharusnya dipandang sinis.
“Kalau benar miskin itu fitrah, untuk apa Islam galakkan zakat, wakaf dan sedekah? Mengapa Khalifah Umar Abdul Aziz dikenang kerana berjaya membasmi kemiskinan dalam pemerintahannya?”
Mahfuz juga mencabar Nik Zawawi agar mengamalkan sepenuhnya pandangannya itu.
“Kalau benar miskin itu fitrah, YB boleh letak jawatan dan tolak semua elaun Parlimen, hidup miskin bersama rakyat. Itu barulah sejajar dengan dakwaan sendiri,” tambahnya.
Terdahulu, Zawawi semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, istilah “menoktahkan kemiskinan” adalah retorik kosong dan bercanggah dengan fitrah manusia kerana menurutnya, setiap negara pasti mempunyai golongan miskin.
Baca juga:








