Tamat Senator, Tengku Zafrul Akan Terus Bantu Kerajaan

PUTRAJAYA: Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka akan terus berkhidmat kepada kerajaan dalam peranan baharu selepas tamat tempoh beliau sebagai senator pada 2 Disember ini, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan menamatkan penggal kedua sebagai senator pada awal minggu depan, namun beliau berkemungkinan besar akan terus menyumbang kepada kerajaan dalam kapasiti lain.

“Perdana Menteri dan Kabinet mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Zafrul yang akan menamatkan penggal kedua senator beliau.

“Beliau akan terus membantu kerajaan, mungkin dalam peranan atau jawatan yang berbeza pada masa hadapan.

“Namun, jenis peranan itu tidak dinyatakan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet.

Tengku Zafrul mula dilantik sebagai senator pada 2020 sebelum menyambung penggal kedua pada Disember 2022.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkhidmat dalam beberapa pentadbiran termasuk di bawah kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri pada 13 November lalu mengenai hasratnya untuk membantu penggantinya selepas tamat tempoh jawatannya sebagai menteri.

Tamatnya penggal senator itu menandakan enam tahun Tengku Zafrul berkhidmat di Dewan Negara, sekali gus membuka ruang untuk beliau menyumbang dalam peranan baharu yang akan diumumkan kemudian.

Setakat ini, kerajaan belum mengumumkan jawatan atau tanggungjawab baharu yang bakal dipikul beliau, namun Tengku Zafrul dijangka terus memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan ekonomi dan perdagangan negara.

Anda Mungkin Berminat