Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Dilantik Sebagai Duta Besar Malaysia ke AS

PETALING JAYA: Malaysia kini mempunyai duta besar baharu ke Amerika Syarikat (AS) dengan pelantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dalam satu istiadat pengurniaan watikah pelantikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Majlis penuh berprestij itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram, anak kelahiran Pahang, membawa pengalaman lebih 35 tahun dalam dunia diplomasi.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Austria dan sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.

Dalam kerjayanya, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022 selain memainkan peranan utama dalam hubungan dua hala serta Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2015.

Pelantikan ini menandakan babak baharu dalam hubungan diplomatik Malaysia-Amerika Syarikat dengan pengalaman dan kepakaran Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah mengampuni perkenan pelantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu dalam satu Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan yang berlangsung di Istana Negara pada hari ini,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Anda Mungkin Berminat