Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang Mula Dilanda Banjir

KOTA BHARU: Tiga daerah di Kelantan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang menjadi kawasan terbaharu yang dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Setakat jam 9 pagi, seramai 113 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) menurut laporan InfoBencanaJKM. Daripada jumlah itu, 56 mangsa berada di enam PPS di Tanah Merah (54) dan Gua Musang (3).

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan kini meningkat kepada 9,625 orang, semuanya berlindung di 52 PPS di seluruh negeri.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my turut memaklumkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang telah melepasi paras bahaya pada 9.17 meter berbanding paras normal 5 meter. Sementara itu, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Galas di Gua Musang melepasi paras amaran.

Dalam perkembangan berkaitan, calon SPM 2025 yang terjejas banjir di PPS dilihat tekun mengulang kaji pelajaran menjelang peperiksaan, ketika tinjauan di beberapa PPS sekitar Kota Bharu pada 24 Nov lepas.

Menurut InfoBencanaJKM, setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara ialah 24,907 orang, manakala di Kelantan seramai 9,625 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat