BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei meneruskan prestasi cemerlang mereka apabila muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 yang berlangsung di Sydney, semalam.
Dalam aksi final di Olympic Boulevard, pasangan No. 4 dunia itu tidak berdepan tentangan sukar sebelum menundukkan beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah – Felisha Pasaribu, dengan kemenangan straight-set 21-16, 21-11 dalam masa 42 minit.
Sebagai pilihan utama kejohanan, Tang Jie–Ee Wei menampilkan permainan bertenaga sepanjang perlawanan dan mengesahkan gelaran tersebut, kejayaan yang hadir tepat pada masanya menjelang cabaran Sukan SEA Thailand 2025 serta Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou bulan hadapan.
Kemenangan ini juga menamatkan kemarau gelaran mereka dalam saingan Jelajah Dunia musim ini, selepas sekadar muncul naib juara pada China Masters September lalu.
Ia sekali gus menjadi kejuaraan kedua buat gandingan negara itu tahun ini, selepas mencipta sejarah memenangi Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Ogos lalu.
Terbuka Australia turut menandakan aksi pertama mereka selepas berehat susulan kecederaan bahu yang dialami Tang Jie, yang menyebabkan mereka terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan termasuk Terbuka Perancis.
Sebagai juara, Tang Jie–Ee Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM156,385) bersama pingat dan trofi, manakala Jafar–Felisha menerima AS$18,050 (RM75,223) selaku naib juara.
Baca juga:








