PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang penangguhan terhadap peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) boleh menjejaskan kedudukan fiskal negara dan menggagalkan sasaran hasil kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu dijangka menyumbang tambahan hasil sebanyak RM5 bilion bagi separuh kedua tahun ini dan RM10 bilion pada tahun 2026.
“Jika peluasan SST ditangguhkan, kerajaan berisiko gagal mencapai sasaran hasil negara. Ini akan memberi kesan kepada keupayaan kerajaan untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH–Bagan) yang mencadangkan supaya peluasan SST ditangguhkan sementara isu berkaitan tarif dan kelembapan ekonomi semasa ditangani.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sistem pungutan hasil negara pada masa ini tidak mengasingkan sumbangan pembayar cukai berdasarkan status kewarganegaraan, justeru pecahan peratusan sumbangan antara warganegara dan bukan warganegara tidak dapat dikenal pasti dengan tepat.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa peka terhadap kebimbangan rakyat berkaitan peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan perlu memastikan ruang fiskal negara kekal mampan supaya tanggungjawab sosial dan pembangunan dapat terus dibiayai dan manfaatnya disalurkan kepada rakyat.
“Cukai merupakan sumber hasil terpenting sesebuah negara. Namun, nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kini sekitar 12 peratus, iaitu antara yang terendah di rantau ini, berbanding 15 peratus seperti disyorkan Bank Dunia bagi memastikan pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan,” katanya.
Menurut Anwar, peluasan SST di bawah Belanjawan 2025 bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara menerusi peningkatan hasil dan peluasan asas cukai.
Baca juga:








