Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bukanlah satu tindakan yang wajar untuk menunding jari ke arah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berhubung isu tidak membawa tindakan undang-undang ke atas jawatankuasa Kuil Dewi Seri Pathrakaliamman.
Itu lontaran Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel yang turut mendedahkan bahawa keputusan untuk tidak membawa perkara itu ke peringkat mahkamah merupakan kata putus yang dibuat oleh pihak Jakel sendiri.
“Tindakan tidak mengambil jalan undang-undang adalah keputusan Jakel sendiri kerana mereka juga ada penasihat undang-undang, kita juga ada banyak rakan-rakan yang menasihati (untuk tidak membawa hal ke mahkamah).

“Tak wajar untuk menyalahkan Datuk Seri Zaliha, kerana tanpa pertolongan beliau kita tidak dapat pecah tanah hari ini dan masjid akan siap lagi dua tahun,” ujarnya menerusi satu kenyataan menerusi video rakaman di hantaran Tiktok pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Zaliha kerana banyak membantu pihaknya menyelesaikan pertikaian pembangunan Masjid Madani tersebut dalam masa tahun.
“Saya merasakan ini tindakan yang tepat dan saya mengucapkan terima kasih kerana, Dr Zaliha kerana menolong, menyelesaikan isu ini dalam masa satu tahun.
“Satu tahun setengah lah maksimum, selesaikan isu ini jadi kita rasa masjid akan siap dalam tempoh 24 bulan, masalah pun dah selesai, kedua-dua pihak akhirnya gembira dan ini adalh satu kejayaan buar kami satu keluarga,”
Sebelum ini media melaporkan, terdapat beberapa pihak yang menyalahkan Dr Zaliha kerana menghalang Syarikat Jakel daripada membawa jawatankuasa jawatankuasa Kuil Dewi Seri Pathrakaliamman ke peringkat mahkamah dalam menyelesaikan pertelingkahan konflik perpindahan tapak kuil dan pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Baca juga: