Pengguna domestik air di Terengganu bakal berdepan dengan kenaikan tarif air sebanyak 16 sen termasuk caj elektrik bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari depan.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts Abdul Karim Endut, pelarasan tersebut dibuat bagi menyaksikan caj minumum terhadap penggunaan domestik dari RM4 kepada RM5.80 sebulan.
Malah, kenaikan tarif air baharu itu turut dipercayai dilakukan selepas kali terakhir dibuat pada 27 tahun lalu.
“Bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu, peralihan caj daripada 42 sen permeter padu kepada 58 sen permeter padu, termasuk caj elektrik.
“Akaun pengguna yang menggunakan 20 meter padu setiap bulan akan dikenakan caj baharu sebanyak RM3.20 sebulan atau 10.7 sen sehari.
“Maka, caj elektrik sebelum ini diserap ke dalam operasi SATU, namun bagi pelarasan kali ini, ia tidak lagi diserap sebagai kos operasi,” katanya ketika Sesi Taklimat Pelaksanaan Pelarasan Kadar Perkhidmatan Bekalan Air dan Caj Elektrik 2024 di Bilik Gerakan SATU, Kuala Terengganu pada Isnin.
Memetik laporan Berita Harian itu juga, pengguna yang menggunakan air sebanyak 20 hingga 35 meter meter padu akan dikenakan caj baharu iaitu daripada 65 sen permeter padu kepada 83 sen permeter padu atau peningkatan keseluruhan sebanyak RM5.90 sebulan atau 20 sen sehari.
Dalam pada itu, pengguna yang menggunakan air melebihi 35 meter padu akan dikenakan caj baharu iaitu RM1.08, termasuk caj elektrik berbanding kadar sebelum ini, RM1.
Sementara itu, bagi kategori domestik pukal pula, caj minimum secara pukal akan berubah kepada RM10.80 sebulan iaitu caj baharu beralih sebanyak 8 sen kepada RM1.08 bagi penggunaan setiap meter padu.
Perusahaan komersial iaitu bukan kategori domestik komersial pula dengan bangunan bukan domestik lain, akan berlaku peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 setiap meter padu.
Bagi caj penggunaan air untuk kategori khas, termasuk surau dan masjid, rumah ibadat dan institusi kebajikan serta perkapalan akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada.
Selain itu, subsidi air percuma 20 meter padu oleh SATU akan diteruskan kepada golongan B40 dan kategori yang layak, termasuk masjid dan surau mengikut ketetapan kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan, pelarasan tarif baharu air itu membabitkan 13,715 akuan dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta setahun.
Untuk info, SATU bertindak sebagai penyelia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu, menyediakan perkhidmatan kepada lebih 1.2 juta rakyat, meliputi 342,364 akaun, pengguna domestik dan bukan domestik.
Baca juga: