Tarif AS: Pendekatan Malaysia berpotensi buka jalan hubungan perdagangan lebih saksama

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Malaysia telah mengambil pendekatan yang bijak dalam menghadapi tarif Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini, kata Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Jelas beliau, dengan memberi keutamaan kepada rundingan berbanding tindakan balas, Malaysia menunjukkan komitmennya untuk menyelesaikan isu perdagangan dengan berkesan.

“Malaysia tidak perlu tergopoh-gopoh dalam menyerah segala-galanya. Pendekatan yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menumpukan kepada perundingan adalah langkah yang tepat.

“Kita perlu berunding dengan Amerika Syarikat, tetapi pada masa yang sama, kita harus melihat ruang di mana Malaysia boleh memberi sedikit kelonggaran atau memberi ruang untuk menangani isu yang dibangkitkan,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau juga menambah bahawa terdapat 12 perkara yang dibangkitkan oleh AS yang dianggap sebagai ‘non-tariff barriers’, yang masih boleh dirundingkan.

“Saya percaya ada ruang untuk Malaysia memberi respons terhadap beberapa isu tersebut dan dengan perundingan yang tepat, kita dapat mencapai penyelesaian yang lebih baik,” jelasnya.

Noor Azlan turut berkata, sebagai negara yang mempengerusikan ASEAN, peranan Malaysia menjadi lebih penting dalam memupuk kerjasama serantau.

Jelasnya, Malaysia perlu memainkan peranan utama dalam memimpin rundingan ASEAN bagi melindungi negara-negara anggota yang lebih lemah akibat pelaksanaan tarif AS seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

“Negara-negara ini bergantung kepada eksport produk asas seperti tekstil dan kasut, yang mungkin menghadapi kesukaran untuk bersaing dalam pasaran global yang lebih canggih.

“Keupayaan negara-negara ini untuk menghasilkan produk canggih mungkin terhad dan mereka juga mempunyai kemampuan yang terbatas untuk membeli produk dari Amerika.

“Oleh itu, kepimpinan Malaysia sangat penting untuk memastikan negara-negara ini tidak tercicir dan mendapat sokongan dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan satu siri ‘tarif timbal balik’ terhadap import dari kira-kira 90 negara yang melebihi cukai menyeluruh sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import ke Amerika Syarikat.

Susulan itu, Anwar berkata bahawa Malaysia akan menghantar wakil rasmi ke AS untuk membincangkan tarif 24 peratus dikenakan ke atas import dari Malaysia.

Bagaimanapun, dalam langkah terbaharunya, Trump menangguh dan menurunkan kadar tarif baharu ke atas import semua rakan dagang AS kecuali China kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Trump mengumumkan jeda itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.

Anda Mungkin Berminat