PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) berkenaan tarif timbal balas masih berada di fasa awal tanpa sebarang keputusan muktamad daripada kedua-dua pihak.
Dalam Sidang Khas Parlimen hari ini, Anwar menjelaskan bahawa perbincangan tersebut tertakluk kepada ‘Non-Disclosure Agreement’ (NDA), sejajar dengan amalan antarabangsa bagi isu strategik dan sensitif.
“Mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan mesti dijaga kerahsiaan, tetapi selepas dimeterai, ia akan dimaklumkan kepada jemaah menteri dan Parlimen.
“Sekiranya ada sebarang cadangan dasar akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara serta badan berkaitan akan meneliti impak rundingan terhadap ekonomi dan sektor negara.
Sidang khas turut menyaksikan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum sesi penggulungan dilakukan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan.