PETALING JAYA: Malaysia menegaskan pendiriannya untuk meneruskan dialog perdagangan secara konstruktif dengan Amerika Syarikat (AS), susulan pengumuman terbaharu negara itu mengenai kenaikan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas beberapa produk eksport Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa Malaysia mengambil maklum langkah unilateral tersebut dan memahami kebimbangan yang dibangkitkan AS berhubung ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.
Namun begitu, katanya, Malaysia percaya bahawa penyelesaian jangka panjang hanya dapat dicapai melalui dialog terbuka dan berterusan.
“AS merupakan rakan dagang kedua terbesarasi eksport utama. Pada tahun 2024 sahaja, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM324.9 bilion (USD71.4 bilion), menunjukkan betapa pentingnya hubungan ekonomi ini kepada pertumbuhan dan pekerjaan di kedua-dua belah pihak,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan terus mengadakan rundingan bersama rakan sejawat di AS bagi menyelesaikan isu tertangguh yang menjejaskan keseimbangan perdagangan dan kelancaran eksport.
Zafrul berkata, matlamat utama adalah untuk mencari persetujuan yang saling menguntungkan serta mengekalkan keyakinan terhadap sistem perdagangan terbuka.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan unilateral seperti itu boleh mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan dan aliran pelaburan yang selama ini memberi manfaat besar kepada ekonomi kedua-dua negara.
“Malaysia kekal komited untuk mencari penyelesaian yang saling boleh diterima, melindungi kepentingan bersama serta memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala terus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi yang mampan,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas kerjasama berterusan dalam menyokong pendekatan diplomasi ekonomi kerajaan.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mengesahkan bahawa tarif import ke atas produk Malaysia akan dinaikkan daripada 24 peratus kepada 25 peratus, berkuat kuasa Ogos ini.