Tarif China-AS: Rubio, Wang Yi dijangka bertemu di KL berkaitan isu tarif

KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi bertemu hari ini di Kuala Lumpur, di tengah ketegangan hubungan dua hala dan isu tarif perdagangan yang kian memuncak.

Pertemuan itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, yang turut menghimpunkan rakan dialog seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua diplomat tertinggi sejak Presiden Donald Trump kembali berkuasa Januari lalu.

Washington kini sedang menekan lebih 20 negara untuk menandatangani perjanjian perdagangan baharu sebelum 1 Ogos atau berdepan tarif antara 20 hingga 50 peratus.

Rubio memberi jaminan rundingan masih berjalan dan sesetengah negara mungkin ditawarkan “kadar tarif lebih baik”.

Dalam ucapannya semalam, beliau menegaskan AS tidak akan mengabaikan rantau Asia-Pasifik.

Sementara itu, Wang Yi menyeru kepada pembentukan sistem antarabangsa yang lebih adil dan menempelak tindakan tarif sepihak oleh negara besar.

“Kita kini berdepan penyalahgunaan tarif dan langkah perlindungan yang keterlaluan,” katanya.

Ketegangan AS-China memuncak sejak Trump kembali berkuasa, termasuk tindakan tarif balas yang melonjakkan kadar duti antara kedua-dua negara sehingga melebihi 100 peratus.

Namun, pada Mei lalu, kedua-dua pihak bersetuju mengurangkan kadar tarif buat sementara, yang disifatkan Trump sebagai ‘penetapan semula sepenuhnya’ dalam hubungan dagang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan tarif sebagai instrumen persaingan geopolitik yang semakin tajam dan membimbangkan rantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat