PARLIMEN | Jadual tarif elektrik di Semenanjung yang diguna pakai sejak 2014 kini disemak semula bagi memastikan ia selari dengan perubahan semasa industri tenaga negara.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, semakan dilakukan susulan perubahan ketara dalam pembangunan sektor tenaga sepanjang 10 tahun lalu.
Kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga telah merangka semula struktur tarif bagi menangani ketidakpadanan kos pembekalan sedia ada, yang sebelum ini merangkumi 9 peratus kos tetap dan 91 peratus kos tenaga.
Sejak 2014, kerajaan mengguna pakai mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) untuk menetapkan tarif asas yang dikaji setiap tiga tahun. Kadar keuntungan TNB juga dikawal selia di bawah mekanisme ini.

Untuk tempoh RP3, purata tarif elektrik pengguna adalah 55.95 sen/kWj, termasuk pelarasan bahan api melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT).
Mulai 1 Julai lalu, ICPT digantikan dengan mekanisme baharu Automatic Fuel Adjustment (AFA). Semakan semula telah menurunkan purata tarif maksimum bagi tempoh RP4 kepada 48.64 sen/kWj, iaitu penurunan sebanyak 19 peratus.
Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada pengguna domestik dan industri, walaupun sebahagian kecil pengguna bukan domestik mungkin mengalami sedikit kenaikan kos.
Kadar keuntungan TNB pula dikekalkan pada 7.3 peratus bagi tempoh RP4, iaitu kadar yang sama sejak RP2 pada tahun 2018.
Baca juga: