Tarif tidak sasar Malaysia, erat hubungan perdagangan dengan AS

PETALING JAYA: Malaysia tidak terkesan dengan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap China, Kanada.dan Mexico.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebaliknya berkata, negara ini sedang giat mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan serta mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang baik dengan AS.

“Nilai keseluruhan eksport barangan Malaysia pada tahun 2024 adalah sebanyak RM1.508 trilion dengan hampir 40 peratus daripada eksport tersebut terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E).

“Daripada jumlah eksport E&E itu, sebanyak RM387 bilion atau 64 peratus adalah produk semikonduktor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya lagi, pasaran ke AS berada di kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia pada tahun 2024.

Katanya, Malaysia juga telah menandatangani Memorandum Kerjasama dengan AS berkaitan ketahanan rantaian bekalan semikonduktor pada 10 Mei 2022.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor yang kukuh dan berdaya tahan serta memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Justeru, kementerian yakin pelabur-pelabur sedia ada dari Amerika Syarikat akan kekal berada di Malaysia dan terus berkembang bagi memperkukuhkan rantaian bekalan global mereka,” katanya lagi.

Perkara yang sama turut dibangkitkan sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Rabu.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengumumkan tarif ke atas tiga rakan dagangan terbesarnya iaitu Kanada, Mexico dan China atas alasan negara tersebut gagal menangani ancaman luar biasa isu imigresen dan dadah.

Anda Mungkin Berminat