Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan wujudnya gugatan mahupun desakan daripada pihak luar sebenarnya ada kebaikan di sebalik itu.
Anwar Ibrahim mengulas perkara itu yang mengaitkan cabaran di peringkat global, di mana negara sedang hadapi pada ketika ini iaitu pelaksanaan tarif baharu yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau menjelaskan, desakan itu menyebabkan negara sedar bahawa keperluan untuk mempercepatkan proses perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta mengejar Kesatuan Eropah (EU) pada sebelum ini untuk dicapai yakni ditandatangani.
“Jadi ada baiknya bila ada gugatan, desakan daripada luar dan kita sedar, ASEAN merayu supaya FTA dengan EU ditandatangani,”
“EU menyulitkan dan dan enggan sama sekali, berlaku sahaja tarif ini EU minta kita percepatkan proses itu, jadi kita harus laju dalam keadaan macam ini,” ujar Anwar.
Beliau berkata demikian, ketika menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Siri-5 yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Live pada Jumaat.
Untuk rekod, berhubung FTA yang disebut oleh Anwar merupakan perkara yang berkaitan dengan perbincangan antara ASEAN dan EU yang bermula pada 2007 sebelum disambung semula pada 2017.
Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu sekiranya mahu Malaysia dijadikan sebagai sebuah negara yang maju dalam kerangka Madani, ia mesti mempunyai lonjakan yang bersifat ‘quantum’ dan bukannya sekadar perubahan.
“Dia (Malaysia) tidak boleh ada dalam kadar perubahan, biasa apa-apa pun perubahan, bila dia cepat, dia akan mengundang masalah, samada dalam ketegangan politik atau sosial,” ujarnya.
Forum pada kali ini dikatakan telah menyentuh topik “Peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Dalam Mentransformasikan Syarikat: Mengimbangi Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial Untuk Mencetuskan Negara yang Berdaya Cipta”.
Pada malam forum itu dilihat terdapat penampilan oleh ahli-ahli panel yang terdiri daripada Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd yang juga ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.