Tarik lesen petualang tipu rakyat! – Akmal

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Kerajaan menarik semula lesen pengilang yang menipu rakyat dengan mencampurkan beras tempatan ke dalam pek import dan kemudian dijual dengan harga mahal di pasaran.

Katanya, gesaan itu susulan laporan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati beras import dan tempatan dicampur dalam pasaran.

“Beras putih tempatan hilang sebab ada petualang yang menipu rakyat! Saya minta biar petualang-petualang yang dikatakan MARDI ini yang campurkan beras putih tempatan dan import, dijual dengan harga import ditarik balik lesen mereka.

“Wajib tarik lesen petualang ini dan dah tiba masanya kita perlu perkasakan pesawah kita untuk mereka dibenarkan untuk proses padi mereka sendiri! Jangan bagi mereka masuk dalam industri beras langsung,” kata Akmal menerusi satu video.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, isu tersebut telah dibangkitkan oleh beliau sekian lama supaya golongan petani diperkasakan untuk memproses dan menjual padi yang ditanam.

Justeru itu, ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata, beliau langsung tidak terkejut dengan laporan MARDI itu.

“Saya tak terkejut sebab kita sudah cakap benda ini lama bila masuk dalam kilang hari itu. Sebab itu saya memohon kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk melihat semula.

“Sudah tiba masanya kita kena memperkasakan pesawah. Biar pesawah ambil padi, proses dan dijadikan beras daripada mereka menjual kepada pengilang dengan harga RM1.50 sekilo atau RM1,500 untuk satu tan.

“Lebih baik mereka proses dan mereka boleh jual terus kepada rakyat dengan harga RM2,600 satu tan. Pesawah dapat jual dengan harga yang lebih tinggi dan pengguna atau rakyat dapat beli harga RM26,” tegasnya.

Terdahulu, Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Katanya, kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.

Beliau berkata, analisis dibuat bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran selaras penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada 2023.

Anda Mungkin Berminat