FILIPINA: Lebih 100,000 penduduk di wilayah timur dan utara Filipina terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing apabila Taufan Fung-Wong bertukar menjadi super taufan pada Ahad sehingga mencetuskan gelombang pemindahan besar-besaran dan amaran kecemasan di seluruh negara.
Memetik laporan Reuters, taufan dahsyat itu membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak besar yang melanda beberapa kawasan pesisir hingga menyebabkan kerosakan dan ancaman keselamatan yang serius.
Susulan keadaan yang semakin memburuk, pihak berkuasa Filipina segera menaikkan amaran ribut ke tahap kelima iaitu amaran tertinggi di negara itu khususnya bagi kawasan Luzon Tenggara termasuk Catanduanes serta pesisir Camarines Norte dan Camarines Sur.
Metro Manila dan kawasan sekitarnya turut diletakkan di bawah amaran tahap tiga sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan kesan taufan yang meluas.
Menurut Agensi Kaji Cuaca Filipina (PAGASA), Fung-Wong kini diklasifikasikan sebagai super taufan dengan kelajuan angin berterusan sekitar 185 kilometer sejam dan pusingan maksimum mencecah 230 kilometer sejam, menjadikannya antara taufan paling kuat yang melanda rantau itu tahun ini.
Pasukan keselamatan, tentera dan sukarelawan telah digerakkan ke kawasan berisiko tinggi terutamanya di tanah rendah dan pesisir pantai yang dijangka mengalami lonjakan ombak dan banjir besar.
Operasi pemindahan dan persediaan kecemasan sedang giat dijalankan bagi melindungi nyawa dan harta benda.
Justeru, kerajaan Filipina menyeru seluruh rakyatnya agar mematuhi arahan keselamatan dan menjauhi kawasan berbahaya.
Kerajaan Filipina turut mengingatkan seluruh rakyatnya agar mematuhi arahan keselamatan dan menjauhi kawasan berbahaya bagi mengelakkan sebarang kehilangan nyawa.








