HOI AN, VIETNAM: Sebuah rangka kapal dagang purba yang dipercayai berusia antara abad ke-14 hingga ke-16 telah mencuri perhatian dunia apabila terdedah di Pantai Tân Thành, Hoi An, selepas Taufan Kalmaegi membadai kawasan itu pada awal November 2025.
Hakisan ombak yang kuat telah menyingkap struktur kayu sepanjang kira-kira 17.8 meter, dengan bahagian lunas, rusuk dan petak kargo masih utuh dan jelas kelihatan.
Penemuan itu membuka jendela baharu kepada sejarah maritim Asia Tenggara khususnya ketika Hoi An pernah menjadi pelabuhan antarabangsa penting yang menghubungkan Asia Timur, India dan Alam Melayu.
Menurut Pusat Warisan Hoi An, kapal tersebut berkemungkinan digunakan untuk perdagangan jarak jauh dan dibina menggunakan kayu tropika seperti keruing dan meranti, manakala kehadiran komponen kayu pain menunjukkan pengaruh teknologi binaan luar.
“Kerja dokumentasi sedang dijalankan menggunakan pengimbasan 3D, manakala kawasan penemuan dipagar bagi mengelakkan kerosakan,” kata pihak berkuasa tempatan yang kini menilai sama ada kapal itu akan dipindahkan ke muzium atau dipelihara terus di lokasi asal.
Penemuan itu bukan sekadar artifak arkeologi tetapi bukti penting kemampuan pelaut Asia Tenggara membina kapal besar dan tahan lasak jauh sebelum era penjajahan Eropah.
Ia turut membuka peluang penyelidikan baharu mengenai laluan perdagangan dan teknologi maritim serantau pada zaman tersebut.








