PETALING JAYA: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru yang baru dipilih, Mohamad Taufiq Ismail tampil mempertahankan dirinya selepas didakwa menerima tuduhan tidak berasas oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’ yang disiarkan malam tadi.
Dalam satu kenyataan, Taufiq menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Rafizi yang disifatkan sebagai bersifat peribadi dan tidak berlandaskan fakta.
Beliau berkata, dakwaan tersebut hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap dirinya yang sedang berusaha membina semula kekuatan akar umbi di Johor Bahru.
“Saya bukan ‘budak’ seperti yang digambarkan tetapi seorang aktivis akar umbi yang telah berkhidmat, berjuang dan membina kepercayaan anggota parti hingga diberikan mandat sebagai Ketua Cabang pada hari ini,” tegasnya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa dirinya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada rekod dalam parti.
Menurutnya, beliau telah lama berkhidmat dalam gerakan reformasi dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua AMK Negeri Johor serta Setiausaha Cabang Johor Bahru.
“Saya bekerja secara tetap sebagai Mekanik Automotif di sebuah syarikat milik ayah saya sejak lapan tahun lalu.
“Saya tidak pernah digajikan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru, malah sering menggunakan duit gaji sendiri untuk kelangsungan parti,” jelasnya.
Selain itu, Taufiq turut menyangkal dakwaan bahawa pasukan Akmal Nasir memenangi semua jawatan dalam pemilihan Cabang Johor Bahru.
Beliau berkata, kemenangan pasukannya adalah sah dan mengikut perlembagaan parti.
Dalam kenyataan tersebut, Taufiq menyeru agar Rafizi menghentikan penghinaan terbuka terhadap pemimpin parti yang telah dipilih secara demokratik.
Beliau juga menggesa agar semua pimpinan menumpukan usaha kepada memperkukuhkan parti dan memperjuangkan nasib rakyat.
“Parti ini tidak dimiliki oleh satu kelompok elit sahaja.
“Ia adalah milik seluruh rakyat yang menganggotainya dan anggota yang bekerja tanpa henti di peringkat bawah,” katanya.