Taufiq Ucap Tahniah, Sawda Raih Emas dan Pecah Rekod Asia

MENTERI Belia dan Sukan yang baharu, Dr Mohammed Taufiq Johari mengucapkan tahniah kepada pelumba berbasikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah, atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), semalam.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang membanggakan apabila atlet muda negara terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

“Lebih hebat, Sawda bukan sahaja mempertahankan kemenangannya dalam edisi lalu, malah memecahkan rekod Asia miliknya sendiri.

“Ini membuktikan ketekalan dan mentaliti juara yang sangat luar biasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada kejohanan yang berlangsung di Velodrom Tagaytay, Filipina itu, Sawda mencatat masa 1 minit 09.604 saat untuk memadam rekod lamanya 1:10.818 saat yang dilakukan tahun lalu di Nilai.

Pingat perak dimenangi pelumba Korea Selatan, Lee Hyun Ji, manakala gangsa milik wakil India, S Thabitha.

Kejayaan itu hadir selepas Sawda sebelum ini kecewa dalam acara keirin dan pecut, namun bangkit cemerlang dalam acara ujian masa.

Taufiq turut berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada Sawda untuk terus konsisten sebagai pelapis utama negara dalam arena berbasikal trek dan kekal berada dalam kelas tersendiri pada masa depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat