KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang masih membuang sampah merata-rata terus mencemarkan imej negara, terutamanya selepas sambutan Krismas yang menyaksikan peningkatan kehadiran orang ramai di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan tersebut dan menegaskan bahawa tiada alasan untuk sesiapa pun berkelakuan sedemikian dalam era abad ke-21.
“Hentikan buang sampah merata-reta dan jangan malukan Malaysia. Sudah masuk abad ke-21, tiada sebab untuk sesiapa membuang sampah sesuka hati di tempat awam. Ia sangat memalukan melihat tingkah laku yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahkan kerajaan apabila tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pesalah yang melanggar undang-undang kebersihan.
“Jangan salahkan kerajaan apabila undang-undang dikuatkuasakan. Tolonglah matang.”
Sebelum ini, masalah pembuangan sampah merata-rata bukan isu baharu di Malaysia dan sering menjadi lebih ketara selepas musim perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu dan perayaan besar lain. Kawasan tumpuan pelancong, pusat bandar serta lokasi rekreasi sering dipenuhi sisa makanan, bekas plastik dan botol minuman akibat sikap tidak prihatin segelintir pengunjung.
Kerajaan sebelum ini telah berulang kali menjalankan kempen kesedaran serta memperkenalkan denda bagi kesalahan membuang sampah, namun tahap kesedaran masyarakat masih perlu dipertingkatkan.
Nga Kor Ming menegaskan bahawa kebersihan negara adalah tanggungjawab bersama dan mencerminkan tahap kematangan serta disiplin rakyat Malaysia di mata dunia.
Baca juga:








