Teknik pernafasan bantu atasi stres, kukuhkan hubungan sosial untuk ‘support system’ terbaik

Stres mahupun tekanan merupakan satu perasaan emosi yang akan dialami oleh setiap individu tanpa mengira usia atau jantina sekiranya berdepan dengan masalah.

Bahkan, setiap individu mempunyai cara tersendiri saat berhadapan dengan situasi begitu agar tidak melarat sekali gus membebankan fikiran sehingga mampu mengundang penyakit berbahaya.

Meskipun stres sering diklasifikasikan sebagai satu hal yang negatif, namun hal itu turut mengubah kepada perkara lebih baik sehinggakan berpotensi untuk meningkatkan daya tindak balas seseorang.

Disebabkan itu, pengurusan stres dengan cara efektif mampu mengubah kehidupan seseorang yang bukan sahaja mampu berfikiran positif, tetapi turut tidak bertindak secara melulu sehingga mengancam kesihatan mental dan fizikal.

Menurut Presiden Persatuan dan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, cara menangani stress yang paling berkesan adalah dengan melakukan teknik relaksasi iaitu cara kawalan pernafasan.

“Bila kita tahu untuk menggunakan teknik Deep Breathing (pernafasan dalaman) yang efektif, benteng stres yang kita tanggung itu akan runtuh dan meredakan tekanan untuk seseorang individu itu berasa tenang.

“Selain daripada itu, tidur dan rehat yang cukup adalah mekanisme untuk daya tindak yang baik bagi menangani stres,” katanya muncul dalam program bual bicara Kongsi Kisah.

Anita, yang juga disahkan menghidap gangguan panik atau panic disorder mengakui teknik pernafasan banyak membantu dirinya untuk kekal tenang ketika berhadapan dengan masyarakat.

Selain daripada teknik pernafasan, kumpulan sistem sokongan yang baik di tempat kerja dan di rumah juga dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu.

“Hadirkan dan bina sistem sokongan yang baik untuk kita meluah dan bercerita supaya kita sendiri tidak terbeban dan menanggung emosi itu seorang diri.

“Selepas kerja, balik saja rumah buat sesuatu yang kita suka seperti tengok Netflix, menyanyi, memasak atau apa saja hobi untuk membantu diri kita kawal emosi dan beri ketenangan dalam melalui hari-hari kita,” katanya lagi kepada Malaysia Bangkit.

Anita turut menegaskan sokongan yang baik itu datang dari kalangan rakan sekerja, ahli keluarga dan sahabat handai bagi menangani tekanan hidup yang boleh mengakibatkan kepada masalah kesihatan mental kronik.

Untuk info, program bual bicara Kongsi Kisah memaparkan penceritaan yang boleh dijadikan pengajaran dan tauladan tentang kisah hidup individu dalam mengharungi tentangan hidup yang disiarkan di YouTube Malaysia Bangkit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat