Teknologi WGS Perkasa Usaha Bendung Virus ASF Oleh Khinzir – Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Teknologi Whole Genome Sequencing (WGS) kini menjadi tumpuan utama dalam usaha membendung penularan virus African Swine Fever (ASF) yang terus menekan industri ternakan khinzir negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencirian genomik melalui WGS membolehkan maklumat lengkap mengenai virus ASF dikenal pasti, termasuk tahap kebolehjangkitan, perubahan genetik, faktor virulen dan pola penularan.

“Teknologi ini juga dapat mengesan dan mencirikan DNA dan RNA virus sekali gus meningkatkan ketepatan diagnosis dan membantu mengenal pasti punca jangkitan dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) berhubung langkah menangani krisis ternakan khinzir di Melaka serta mempercepat kelulusan penternakan moden bagi menjamin bekalan daging kepada masyarakat bukan Islam dan industri makanan negara.

Menurut Mohamad, pendekatan berasaskan WGS membolehkan kementerian menilai risiko lebih awal dan mempercepatkan tindak balas terhadap ancaman ASF di peringkat ladang.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh KPKM dalam menangani impak ASF yang bukan sahaja melumpuhkan pengeluaran domestik, tetapi turut meningkatkan kebergantungan kepada daging import yang mencecah RM944 juta pada 2023,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sistem penternakan moden (Modern Pig Farming) perlu dijadikan halatuju utama industri khinzir, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0, bagi memastikan kelangsungan bekalan daging dan ketahanan sektor dalam jangka panjang.

Sejak tahun lalu, katanya, sebanyak 20 ladang khinzir telah ditutup dengan ASF dikenal pasti sebagai punca utama, selain isu pemilikan tanah dan kekangan kewangan.

Anda Mungkin Berminat