Telco Jawab Tiada Kebocoran Data Peribadi

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat telekomunikasi utama negara tampil menjawab kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan kebocoran data peribadi pelanggan yang didakwa disalurkan kepada pihak kerajaan tanpa kebenaran.

Isu ini tercetus susulan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin pembangkang yang mendakwa kerajaan atau agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mungkin menerima akses kepada data peribadi pelanggan telco termasuk lokasi, nombor telefon dan maklumat pengenalan diri, melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Sebagai respon, lima syarikat utama CelcomDigi, Maxis, TM (Telekom Malaysia), U Mobile dan YES memberi jaminan bahawa mereka tidak menyerahkan data peribadi pengguna, sebaliknya hanya maklumat agregat yang tidak boleh dikenalpasti.

CelcomDigi menegaskan mereka menjaga data pelanggan dengan serius dan tidak berkongsi nama atau nombor telefon dengan mana-mana pihak.

“Kami tak bagi maklumat peribadi seperti nama atau nombor telefon kepada sesiapa pun,” katanya.

Maxis pula menyatakan semua maklumat yang dikongsi adalah bersifat umum dan mematuhi undang-undang.

“Kami tak intip sesiapa. Semua ini ikut undang-undang dan hanya untuk bantu kerajaan rancang internet yang lebih baik.”

TM (Telekom Malaysia) menjelaskan data yang diberi adalah tanpa identiti tidak melibatkan nama atau nombor kad pengenalan dan digunakan untuk tujuan pembangunan liputan internet.

“Kami bantu kerajaan buat peta internet yang lebih bagus, bukan nak skodeng orang,” jelas wakil TM.

Manakala U Mobile turut menegaskan bahawa laporan yang dikongsi hanya bersifat statistik dan tidak membabitkan identiti pengguna.

“Kami akan terus lindungi hak privasi semua pelanggan,” katanya.

YES memberi jaminan bahawa mereka hanya berkongsi data agregat untuk tujuan sistem dan pemetaan, bukan maklumat individu.

Isu ini mula menarik perhatian ramai apabila laporan media dan ciapan di media sosial mendakwa data pengguna telco dikumpulkan untuk pemantauan, mencetuskan spekulasi sama ada data tersebut digunakan tanpa persetujuan individu.

Dalam beberapa kenyataan, ahli parlimen pembangkang menyatakan bahawa kerajaan perlu menjelaskan bentuk data yang dikumpul, tujuan penggunaannya dan jaminan keselamatan terhadap data tersebut, selari dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Susulan reaksi masyarakat dan tekanan politik, semua telco yang terlibat tampil menjelaskan pendirian mereka dan memberi jaminan bahawa tiada data peribadi seperti nama, nombor telefon atau IC dikongsi.

Mereka turut menegaskan komitmen kepada undang-undang dan garis panduan privasi yang ketat termasuk pematuhan terhadap PDPA dan polisi dalaman keselamatan data.

Penjelasan ini diharap dapat meredakan keresahan orang ramai dan meneguhkan kembali kepercayaan terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat