Telur Gred Khas Diperkenal, Harga Lebih Patut

PETALING JAYA: Kerajaan Madani terus mengambil langkah proaktif dalam menangani isu bekalan makanan asas negara apabila industri bekalan telur kini memperkenalkan Telur Gred Khas yang ditawarkan pada harga lebih berpatutan untuk rakyat.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula subsidi telur ayam yang akan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025, sebagai pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

“Kerajaan telah mengambil langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam berkuatkuasa 1 Ogos 2025 sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan Telur Gred Khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

KPKM berkata, penstrukturan semula ini juga membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan subsidi dengan penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada pelbagai program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai teras Malaysia Madani.

“Keputusan ini juga dibuat setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.

“Untuk makluman, antara Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam, iaitu satu jumlah yang besar dan bersifat sementara bagi membantu rakyat serta industri semasa krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Menurutnya, langkah itu bertujuan membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Langkah ini penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat