KUALA LUMPUR: Tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi tahun 2025 ialah ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, yang menekankan usaha kerajaan dalam memastikan pembangunan seimbang dan kebajikan rakyat terus diutamakan.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025), menerusi sidang media hari ini.
“Pemilihan tema ini menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus mengangkat nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan perpaduan dalam masyarakat selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,” kata Fahmi.
Tambah beliau, tema ini turut membawa kesinambungan penggunaan logo rasmi sehingga tahun 2027.
Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penekanan terhadap pembangunan negara yang holistik, menggabungkan kemajuan fizikal dan rohani, berpaksikan nilai ekonomi yang mampan, tadbir urus yang berintegriti dan keharmonian sosial.
“Penambahan frasa ‘Rakyat Disantuni’ menggambarkan bahawa setiap dasar dan inisiatif negara akan terus mengambil kira suara dan keperluan rakyat,” ujar Fahmi lagi.
Sambutan Bulan Kebangsaan akan bermula dengan pelancaran rasmi dan acara pengibaran Jalur Gemilang pada 27 Julai 2025 di Johor, diikuti Perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya, dan kemuncaknya, sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Pulau Pinang.
Baca juga: