Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan adalah platform tepat bagi semua rakyat Malaysia mengukuhkan integrasi dan nilai kebersamaan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata semua pihak perlu memahami budaya, adat resam, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada di negara ini.
“Sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 67 tahun yang lalu, kita telah menerima bahawa kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud sebagai kekuatan utama negara.
“Hari Kebangsaan pada tahun ini bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, ‘Malaysia MADANI’ tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.
“Sementara ‘Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterprestasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut berkata setelah semua pihak saling memahami, saling menerima dan menghormati maka jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.
“Secara tidak langsung, tentunya ini dapat memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat,”
“Saya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67 kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,”
Negara akan menyambut Hari Kebangsaan ke-67 esok di Dataran Putrajaya bermula pada pukul 7 pagi hingga 2 petang.
Persembahan acara perbarisan dan perarakan dijangka berlangsung selama dua jam dengan menampilkan 25 pancaragam, 479 aset ketenteraan dan pertunjukan udara yang dijayakan kira-kira 17,000 peserta daripada 59 kontinjen.