SYDNEY: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan dalam insiden tembakan yang berlaku di Bondi Beach pada 14 Disember 2025.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, pihak Suruhanjaya Tinggi memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Australia untuk memantau perkembangan terkini insiden tersebut.
“Merujuk kepada insiden tembakan di Bondi Beach pada 14 Disember 2025, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, dengan kerjasama pihak berkuasa Australia, akan terus memantau rapat situasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Insiden yang mengejutkan komuniti tempatan dan pelancong itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melancong di Australia.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Tinggi menasihatkan agar semua rakyat Malaysia menjauhkan diri daripada kawasan terjejas dan sentiasa peka terhadap arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terkesan setakat ini.
“Rakyat Malaysia di Australia dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada kawasan-kawasan yang terjejas dan sentiasa memantau dan peka terhadap situasi terkini serta patuh kepada nasihat dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” tambah kenyataan tersebut.
Bagi mereka yang mungkin terjejas atau memerlukan bantuan, Suruhanjaya Tinggi menyeru agar segera menghubungi pejabat mereka di Canberra.
“Rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut, adalah dimohon untuk memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan secepat mungkin,” kata kenyataan itu lagi.
Dua talian telah disediakan untuk tujuan itu:
- +61 0261 200 300 (Isnin – Jumaat, 9.00 pagi – 5.00 petang)
- +61 0416 334 901 (selepas waktu pejabat)








